Pengalaman Sebagai Guru PSV

Setiap hari saya keluar masuk ke kelas untuk menyampaikan ilmu dan membimbing pelajar  untuk mencapai objektif pembelajaran PSV yang telah ditetapkan. Proses ini saya sebut  sebagai proses PdP. Semasa proses PdP ini saya telah berjumpa dengan pelbagai ragam tingkah laku pelajar dan pelbagai aras kebolehan pelajar yang telah menimbulkan pelbagai masalah.

Pada peringkat awal menjadi seorang guru, masalah ini telah menimbulkan tekanan dalam diri saya. Saya selalu terfikir apakah kaedah terbaik untuk mengatasi masalah ini. Saya buntu.

Setelah beberapa tahun mengajar, barulah saya sedar bahawa ilmu pengetahuan di sekolah
tidak boleh disampaikan kepada pelajar dalam bentuk serba sempurna. Para pelajar perlu
membentuk pengetahuan berdasarkan pengalaman sedia ada mereka. 


Setiap pelajar sebenarnya telah mempunyai satu tanggapan/idea dan pengalaman yang membentuk struktur kognitif terhadap persekitaran mereka sendiri. Ilmu mentah yang diketahui pelajar adalah tanggapan yang dia bina sendiri.

Semasa proses PdP atau ketika menyampaikan konsep dan pengetahuan baru kepada pelajar, guru harus mengambil kira struktur kognitif yang sedia ada pada pelajar. Apabila
pengetahuan baru telah disesuai dan diserapkan menjadi sebahagian daripada pegangan
kuat mereka, barulah sesuatu ilmu pengetahuan itu lekat diminda mereka. 

Pada pendapat saya PdP PSV yang berkesan itu bermula dengan pengetahuan atau pengalaman sedia ada pelajar.


Oleh hal yang demikian, kaedah PdP saya kerap berubah mengikut kelas yang diajar. Antara kaedah yang saya gunakan adalah  tunjuk cara, projek, sumbang saran, penerokaan dan kaji siasat.
 





Pada pendapat saya PSV adalah amali bukannya teori. Semasa proses PdP saya, pelajar lebih banyak melakukan amali. Bermula dengan pemerhatian, penerokaan, mengolah bahan, melakar/ melukis, mewarna dan akhirnya membuat kemasan.
 

Buku sketch, pensel warna dan pen gel dakwat hitam adalah perkara penting ketika PdP saya.
 
Diperingkat awal proses PdP PSV saya, pelajar diberi peluang melihat, mengamati beberapa gambar atau benda konkrit yang berkaitan tajuk yang hendak diajar. Kemudian saya akan menyoal pelajar dengan beberapa soalan untuk menguji pengetahuan sedia ada mereka ataupun untuk menguji pemahaman mereka terhadap gambar/benda yang dilihat. 

Langkah seterusnya adalah memberi penerangan berkaitan tajuk. Ketika ini saya akan selitkan sedikit teori (definisi mengikut bahasa seni) yang dikaitkan dengan persekitaran mereka atau trend semasa.

Pelajar seterusnya akan membuat penerokaan berdasarkan tajuk. Mereka juga dikehendaki membuat olahan dan lakaran terhadap apa yang mereka lihat  untuk menghasilkan karya seni. 

Apabila lakaran mereka siap, saya akan minta pelajar tertentu untuk mempamerkan  hasil lakaran  mereka. Ketika ini saya akan selitkan teori seperti fungsi sesuatu unsur atau peranan setiap prinsip rekaan atau kegunaan sesuatu karya seni berdasarkan lakaran pelajar. Pelajar perlu membuat catatan. 

Saya juga akan memberi ulasan atau teguran untuk memperbetulkan kesilapan pelajar.  Beberapa soalan juga diberi untuk menguji pemahaman pelajar.

Minggu seterusnya pelajar perlu menghasilkan karya mereka berdasarkan kajian dan olahan yang telah dibuat. Lazimnya saya akan  terangkan proses penghasilan dan langkah-langkah keselamatan yang perlu diambil.

Proses menghasilkan karya ini biasanya berjalan dalam suasana tenang dan senyap. Ketika ini saya akan bergerak dari meja ke meja untuk membimbing pelajar terutamanya pelajar 'hardcore'.  Terus terang saya katakan bahawa pelajar hardcore menjadi baik ketika PdP PSV. Jangan untuk memberi pujian kepada mereka jika hasil kerja nampak kemas dan cantik, begitu juga dengan pelajar yang lain.

Pelajar juga diberi peluang untuk menilai dan membuat ulasan terhadap karya rakan mereka.

Akhir sekali, pelajar perlu membuat kemasan terhadap hasil karya mereka. Pelajar boleh memasang bingkai dan balutan palstik lut sinar pada karya mereka.

Jangan lupa pamerkan karya mereka selepas penilaian dibuat.     

Kaedah PdP yang saya gunakan ini menimbulkan rasa kurang senang di kalangan rakan kerana ada yang mengatakan saya tidak bersungguh ketika mengajar. 

Apa-apa aje lah....

No comments:

Powered by Blogger.