Elemen Merentas Kurikulum

Elemen Merentas Kurikulum (EMK) ialah unsur nilai tambah yang diterapkan dalam proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) selain yang ditetapkan dalam standard kandungan. Elemen-elemen ini diterapkan bertujuan mengukuhkan kemahiran dan keterampilan modal insan yang dihasratkan serta dapat menangani cabaran semasa dan masa hadapan. 


Elemen-elemen di dalam EMK adalah seperti berikut:

1. Bahasa
Penggunaan bahasa pengantar yang betul perlu dititikberatkan dalam semua mata pelajaran.
Semasa p&p bagi setiap mata pelajaran, aspek sebutan, struktur ayat, tatabahasa, istilah dan laras bahasa perlu diberi penekanan bagi membantu murid menyusun idea dan berkomunikasi secara berkesan.


2. Kelestarian Alam Sekitar
Kesedaran mencintai dan menyayangi alam sekitar dalam jiwa murid perlu dipupuk melalui PdP semua mata pelajaran. Pengetahuan dan kesedaran terhadap kepentingan alam
sekitar dalam membentuk etika murid untuk menghargai alam.


3. Nilai Murni
Nilai murni diberi penekanan dalam semua mata pelajaran supaya murid sedar akan kepentingan dan mengamalkannya. Nilai murni merangkumi aspek kerohanian, kemanusiaan
dan kewarganegaraan yang menjadi amalan dalam kehidupan harian.


4. Sains dan Teknologi
Menambahkan minat terhadap sains dan teknologi dapat meningkatkan literasi sains serta teknologi dalam kalangan murid. Penggunaan teknologi dalam pengajaran dapat membantu
serta menyumbang kepada pembelajaran yang lebih cekap dan berkesan.
 

Pengintegrasian Sains dan Teknologi dalam p&p merangkumi empat perkara iaitu:
 

(i) Pengetahuan sains dan teknologi (fakta, prinsip, konsep yang berkaitan dengan sains dan teknologi);
(ii) Kemahiran saintifik (proses pemikiran dan kemahiran manipulatif tertentu);
(iii) Sikap saintifik (seperti ketepatan, kejujuran, keselamatan); dan
(iv) Penggunaan teknologi dalam aktiviti p&p.


5. Patriotisme
Semangat patriotik dapat dipupuk melalui semua mata pelajaran, aktiviti kokurikulum dan khidmat masyarakat. Semangat patriotik dapat melahirkan murid yang mempunyai semangat cintakan negara dan berbangga sebagai rakyat Malaysia.


6. Kreativiti dan Inovasi
Kreativiti adalah kebolehan menggunakan imaginasi untuk mengumpul, mencerna dan menjana idea atau mencipta sesuatu yang baharu atau asli melalui ilham atau gabungan idea yang ada. Inovasi merupakan pengaplikasian kreativiti melalui ubah suaian, membaiki dan mempraktikkan  idea. Kreativiti dan inovasi saling bergandingan dan perlu untuk memastikan pembangunan modal insan yang mampu menghadapi cabaran Abad Ke-21. Elemen kreativiti dan inovasi perlu diintegrasikan dalam p&p.


7. Keusahawanan
Penerapan elemen keusahawanan bertujuan membentuk ciri dan amalan keusahawanan sehingga menjadi satu budaya dalam kalangan murid. Ciri keusahawanan boleh diterapkan dalam p&p melalui aktiviti yang mampu memupuk sikap seperti rajin, jujur, amanah dan bertanggungjawab serta membangunkan minda kreatif dan inovatif untuk memacu idea ke pasaran.


8. Teknologi Maklumat dan Komunikasi
Penerapan elemen TMK dalam p&p memastikan murid dapat mengaplikasi dan mengukuhkan pengetahuan dan kemahiran asas TMK yang dipelajari. Pengaplikasian TMK bukan sahaja mendorong murid menjadi kreatif malah menjadikan p&p lebih menarik dan menyeronokkan serta meningkatkan kualiti pembelajaran.

No comments:

Powered by Blogger.