Fokus Utama Pendidikan Seni Visual

Kurikulum Standard Sekolah Menengah bagi mata pelajaran Pendidikan Seni Visual Tingkatan 1 perlu merangsang kepada perkembangan pemikiran seni visual dalam kalangan murid.



Bagi mencapai objektif yang dihasratkan, murid perlu diberi pengukuhan pemahaman terhadap bidang Sejarah dan Apresiasi Seni Visual, Bahasa Seni Visual dan Pemikiran Seni Visual melalui eksplorasi maklumat daripada pelbagai sumber serta eksperimentasi pelbagai media dan teknik dalam penghasilan karya seni.

Pengukuhan pengetahuan dan pemahaman terhadap bidang Sejarah dan Apresiasi Seni Visual perlu memfokuskan perihal aspek Sejarah Perkembangan Seni Visual di Malaysia dan Kepentingannya, pengenalan tokoh dan sumbangan mereka serta peranan Institusi Seni Visual di Malaysia.

Dalam bidang Bahasa Seni Visual, murid diberikan penerangan secara jelas tentang konsep unsur seni dan prinsip rekaan. Justeru, aktiviti penerokaan terhadap unsur seni dan prinsip rekaan pada alam semulajadi, objek buatan manusia dan karya seni melalui eksperimentasi media dan teknik menjadi fokus utama bagi menguji tahap kefahaman murid.

Hasil eksperimentasi kemudiannya diterjemahkan dengan menggunakan imaginasi serta idea secara kreatif dan inovatif. Hasil karya seni visual seterusnya dipamerkan agar murid dapat menghayati dan menjelaskan pengalaman sendiri dalam penghasilan karya.

Bidang Pemikiran Seni Visual memberi tumpuan khusus terhadap aplikasi aspek tema dan mesej, motif, idea dan konsep serta designomic dalam proses pembentukan karya. Aspek yang diketengahkan diharap dapat memberi pengetahuan terhadap konsep Pemikiran Seni Visual agar murid berupaya menterjemahkan kefahaman dengan menzahirkan idea secara
kreatif dan inovatif hasil daripada eksperimentasi serta penerokaan media, proses dan teknik dalam penghasilan karya seni visual.

No comments:

Powered by Blogger.